1) Baca ayat dalam baris pertama sebanyak 10 kali dengan melihat mushaf. Kemudian, ulanginya tanpa melihat mushaf.
(Mesti 10 kali. Jangan baca 2 kali, terus mahu mengulang. Cara ini
salah. Ikut pesanan Sheikh dengan membacanya sebanyak 10 kali, barulah
kemudiannya mengulang tanpa melihat mushaf, supaya ayat yang mahu
dihafal melekat di dalam minda dan tahu kedudukan ayat tersebut di dalam
mushaf.)
Jika ada masalah dengan perkataan tertentu, maka bacalah perkataan
tersebut dengan satu perkataan sebelumnya dan satu perkataan selepasnya
sebanyak 5 kali. Kemudian, ulanginya tanpa melihat mushaf.
2) Kemudian, bacalah ayat dalam baris kedua sebanyak 10 kali dengan
melihat mushaf. Selepas itu, ulangi ayat dalam baris kedua tanpa
melihat mushaf.
3) Setelah ayat dalam baris pertama dan kedua dapat dihafal, bacalah
kedua-dua ayat dalam baris pertama dan kedua tersebut dengan melihat
mushaf pula sebanyak 3 kali. Selepas itu, ulanginya sebanyak 3 kali
juga tanpa melihat mushaf.
4) Ulangi perbuatan di atas untuk ayat dalam baris ketiga, keempat, kelima dan seterusnya sehingga habis satu muka surat.
Cara di atas adalah cara penghafalan jangka masa pendek. Dan hafalan boleh hilang dalam masa beberapa minggu.
Bagaimana untuk menukar penghafalan jangka pendek ini kepada penghafalan jangka panjang?
1) Ambil mushaf dan buka muka surat yang sudah dihafal itu. Baca
muka surat tersebut sebanyak 20 kali dengan melihat mushaf.
Sebaik-baiknya semasa membaca, jari diletakkan di baris berkenaan.
Perbuatan begini, insyaALLAH akan melekatkan apa yang dihafal kuat di
dalam minda. Anda tidak akan lupa, insyaALLAH. Segala puji bagi
ALLAH. Kenapa?
Kerana apabila anda membacanya sebanyak 20 kali dengan melihat
mushaf, mata anda akan merakam muka surat tersebut dalam bentuk foto ke
dalam minda. InsyaALLAH ia akan melekat kuat di dalam ingatan anda dan
takkan melupakannya.