Adapun
terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga
dengan langit. Berkata dia kepada langit, “Hai langit, aku lebih baik dari
kamu kerana Allah SWT telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai
negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-anaman, beberapa gunung dan
lain-lain.” Berkata langit, “Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu
kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, Arasy,
Kursi dan syurga ada padaku.”
Berkata bumi, “Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang
yang baik).” Bumi berkata lagi, “Hai langit, sesungguhnya pemimpin para
nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru
sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya
penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia
menjalankan syari’atnya juga di tempatku.
Langit
tidak dapat berkata apa-apa apabila bumi berkata demikian. Langit
mendiamkan diri dan dia mengadap Allah SWT dengan berkata, “Ya Allah,
Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya apabila
mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh
itu aku minta kepadaMu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga.”
Lalu
Allah SWT mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah SWT memberi
wahyu kepada Jibrail pada malam tanggal 27 Rejab, “Janganlah engkau
(Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau Izrail jangan engkau
mencabut nyawa pada malam ini.” Jibrail bertanya, ” Ya Allah, apakah
kiamat telah sampai?” Allah SWT berfirman, maksudnya, “Tidak, wahai
Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke syurga dan ambillah buraq dan terus
pergi kepada Muhammad dengan buraq itu.”
Buraq
adalah seekor binatang yang rupanya seperti kuda. Saiznya kecil sedikit
daripada kuda tapi lebih besar dari keldai. Lariannya sepantas kilat.
Selangkah lompatannya, sejauh mata memandang jaraknya. Buraq akan
memanjangkan kaki belakangnya ketika ia mendaki manakala akan
memanjangkan kaki depannya pula apabila ia menurun. Menggerak-gerakkan
telinga dan kakinya adalah tabiat semulajadi buraq. Di samping rupanya
yang cantik, terdapat sayap pada kedua-dua pehanya. Sayap ini adalah
untuk membantu kecepatan lompatannya.
Kemudian
Jibrail pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang
di taman syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad SAW.
Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail terpandang pada seekor buraq yang
berwarna putih sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail lalu
menghampirinya lalu bertanya, “Mengapa engkau menangis, ya buraq?”
Berkata buraq, “Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama
Muhammad SAW sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam
hatiku dan sesudah itu aku menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu
makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan.”
Berkata
Jibrail, “Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau
rindukan itu.” Kemudian Jibrail memakaikan pelana dan kekang kepada
buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad
SAW. Ketika sampai di bumi, buraq yang dibawa oleh Jibrail itu
menojang-nojangkan kakinya. Ia seolah-olah enggan ditunggangi. Melihat
demikian, malaikat Jibrail memegangnya dan berkata: “Wahai buraq! tidak
malukah engkau? Demi Allah, orang yang akan menunggangi engkau adalah
orang yang paling mulia di sisi Allah SWT”. Mendengar perkataan Jibrail
itu maka bercucuranlah peluhnya. Ia kelihatan kemalu-maluan dan tidak
lagi resah. Nabi SAW pun naik ke tempat yang tersedia di atas badan
buraq, sebagaimana dilakukan oleh nabi-nabi sebelum baginda nabi SAW.
Setelah
siap segalanya, terbanglah buraq membawa nabi Muhammad SAW memulakan
Israk. Dalam perjalanan itu, Jibrail mendampingi nabi SAW di sebelah
kanan baginda SAW manakala Mikail di sebelah kiri.
Wallahu’alam….




